Home Bahasa Rutin tukar mimpi ngeri

Rutin tukar mimpi ngeri

TIGA pemuda yang diculik sebelum didera anggota tentera negara jiran.

SERIAN: Hasrat lima bersaudara mahu menyiapkan rumah panjang baharu mereka bertukar bertukar mimpi ngeri apabila diculik sebelum didera anggota tentera negara jiran di kawasan hutan berhampiran Kampung Danau, Wong Rangkai, di sini pada 11 Disember lalu.

Menceritakan semula pengalaman hitam diharungi mereka, kelima-lima mangsa ke hutan berkenaan untuk menebang pokok bagi menyiapkan kerja membina rumah panjang baharu.

Lima mangsa culik dikenali sebagai Ruby Nyalu, 30, Welly Mandah, 19; Lionel Lawrence, 15; Sanjan Ambo, 64, dan Langgong Ambo, 48.

Menjadi rutin mereka ke hutan berkenaan untuk mencari kayu, selain mencari hasil hutan di lokasi berkenaan yang berada dalam kawasan Malaysia dan berstatus Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR).

Malah, berhampiran kawasan hutan itu juga turut dijalankan aktiviti penanaman padi huma yang menjadi sumber ekonomi penduduk setempat.

Sumber memberitahu wartawan, kerja pembinaan rumah panjang dijalankan dengan kerjasama penduduk kampung sejak awal tahun ini.

“Penduduk rumah panjang bekerjasama membina rumah baru menggunakan kayu ditebang dari hutan berhampiran kampung.

“Kawasan hutan berkenaan tempat mereka memotong kayu berstatus NCR dan tidak menjadi masalah sekiranya mereka mahu menggunakan hasil hutan membina rumah panjang selain ia antara sumber pendapatan penduduk kampung,” katanya.

Katanya, kelima-lima mangsa tidak memasuki hutan negara jiran, sebaliknya dua anggota tentera itu didapati menceroboh kerana lokasi terletak hanya 400 meter dari garis sempadan Sarawak-Kalimantan Barat.

“Ini bermakna tentera TNI yang melakukan kesalahan kerana menceroboh masuk ke kawasan Malaysia sedangkan lokasi mangsa memotong kayu masih di dalam kawasan negara,” katanya.

Menurut sumber itu, dua daripada lima mangsa culik dilepaskan hari yang sama kerana anggota TNI tentera terbabit pulang semula ke rumah panjang bagi mendapatkan wang tebusan RM10,000 serta dua mesin gergaji.

“Namun tiga ditahan dan didera dengan keadaan mata tertutup, termasuk ditumbuk dan dipukul menggunakan rotan,” katanya.

Akibat dari insiden itu, tiga daripada lima mangsa mengalami kecederaan teruk di seluruh badan, selain kesan trauma apabila turut diacu senjata api sepanjang ditahan semata-mata bagi memaksa mereka membuat pengakuan menceroboh dan menjalankan kegiatan pembalakan secara haram di wilayah Indonesia.

Sumber itu menjelaskan, kejadian dimaklumkan kepada pihak berkuasa negara sebelum satu pertemuan diadakan antara kedua-dua pihak untuk membebaskan tiga lagi mangsa diculik.

“Satu kata sepakat dicapai apabila tiga mangsa dibebaskan bersama sebuah pacuan empat roda yang turut dirampas, selain pihak tentera negara jiran memberi jaminan untuk mengambil tindakan tegas terhadap anggotanya yang terbabit dalam kejadian itu,” katanya.

 

- Advertisment -

Must Read